Monday, April 7, 2014

SYOKNYA USRAH!

Usrah. Suatu benda yang tak asing lagi. Apatah lagi, pada zaman yang serba canggih ni. Media massa memainkan peranan yang besar dalam penyebaran sesuatu maklumat, idealogi, fikrah malah doktrinisasi. Ramai yang tertarik, minat, inkuiri serta taksub pabila perkataan klise itu disebut.

Bagi mereka yang berada di dalamnya, mereka berasa sangat-sangat gembira kerana dapat merasakan erti sebenar ukhuwah fillah. Membahasakan diri mereka ana dan enta. Bergelar ikhwah dan akhawat. Makan bersama-sama dalam talam. Beribadah secara jama’i. Melakukan pelbagai aktiviti bersama. Oh indahnya dunia…

Kian kali tibanya hari yang di nanti, wajah mereka bersinar-sinar. Ya lah, inilah masanya untuk mereka menghayati islam. Menyatukan hati-hati mereka menyahut seruan Rabb Yang Esa. Inilah waktunya mereka mengisi jiwa-jiwa mereka dengan kalimah-kalimah toyyibah. Memenuhi hati-hati mereka dengan fikrah-fikrah islam. Ya inilah waktunya!

Namun tatkala itu, kadang hati mereka lupa. Larut. Tenggelam. Setahun, dua tahun, sepuluh tahun hatta beratus tahun sekalipun, jika kita usrah untuk diri kita sahaja, apakah bezanya kita dengan seorang ahli ibadah yang bermain-main?

“walaupun akhir-akhir ini telah banyak seruan dari da’i islam yang mengajak orang ramai, khususnya kepada mereka yang bersembahyang supaya supaya bekerjasama dan menolong da’i islam dalam kerja amar makruf nahi mungkar ini, namun begitu sebahagian besar dari mereka hanya menggelupur sedih dengan realiti orang islam. Mereka masih tidak mengetahui  tariq amal (jalan kerja). Kalaupun ada di kalangan mereka yang tahu, biasanya dihalang pula oleh rasa takut dan ingin menjaga kepentingan. Takut memikul risiko dakwah dan pengorbanan serta ingin menjaga harta benda dan kepentingan dunia.”
-muntalaq, bab 5-
           
            Mereka terlampau asyik. Terlalu yakin akan kedudukan mereka di syurga. Hilai tawa melampaui usaha dakwi. Ukhuwah fillah menutupi lolongan manusia yang hilang ditelan kegelapan jahiliyah. Tak pernah sekali melihat sekeliling perhati tingkah lincah maksiat yang melampaui norma. Jikalau pernah sekalipun, hanyalah untuk muhasabah dan berdoa tidak menjadi seperti mereka. Begitu bukan?

            Ya saya akui saya juga berada dalam sistem ini. The so called doktrinisasi. Mengapa ia digelar doktrinisasi? Kerana kita menjadikannya begitu. Realiti hari ini. Membaca puluhan buku. Melalui ratusan pengisian. Menghadiri ribuan liqa’ usari. Adakah itu cukup untuk menempah tiket ke syurganya? Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Ilmu yang kita dapat bukanlah untuk menjadikan kita sebuah perpustakaan bergerak atau menandakan kita sudah lama berkecimpung dalam fenomena usrah ini. Hakikatnya, amal yang ikhlas menjadi penentu.

            “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan”
- al-muddasir: 1-2 -
           
            Sampai bila kita nak dibuai murabbi tanpa mengerahkan sedikit kudrat untuk menjadi sepertinya. Bergerak sepertinya. Melaju sepertinya. Apakah kita lupa ketika mana kita yakin bahawa pembinaan manusia satu-satunya cara untuk menggapai ustaziyatul alam. Maka wajarkah kita membiarkan diri kita dibina tanpa menjadi seorang yang membina?


            Setiap yang mudah itu pasti tidak mendatangkan kejayaan yang besar. Setiap yang ringan itu pasti tidak dipandang tinggi oleh yang lain. Setiap keseronokan itu pasti tidak dapat menanggapi apa erti sebenar mujahadah. Maka teguhlah dalam langkahmu. Yakinlah dalam usahamu. Sertakan dengan amal yang ikhlas. Hidupkan dengan ibadah yang berterusan. Peluklah mad’u yang menantimu di luar sana. Rapati mereka seperti mana yang kau pernah alami. Apalah syoknya usrah kalau kita sahaja yang rasa, bukan?


- Hood Hood -

No comments:

Post a Comment