Berlapang dada adalah sesuatu yang hanya akan berlaku apabila terdapatnya perbezaan pendapat tetapi ianya diketepikan atas dasar keimanan, semata-mata kerna Allah dan juga demi maslahat Ummah, Dakwah dan Tarbiyyah.
Perbezaan pendapat dari segi nak iftar bersama di mana minggu ini, tidur siapa dapat bawah kipas semasa daurah, minyak kereta semasa jaulah siapa patut bayar dan seumpamanya juga menuntut ikhwah untuk berlapang dada.
Namun begitu, berlapang dada buat perkara-perkara tersebut masih berada pada tahapan rendah. Seharusnya dalam bab-bab sebegitu, seseorang yang bergelar ikhwah sudah berada pada tahap itsar (melebihkan saudaranya).
Sebaliknya, berlapang dada tahapan tinggi buat seorang ikhwah seharusnya adalah bagi perbezaan pendapat dalam gerak kerjanya.
Setiap mujahid, setiap prajurit pastinya ada kebijaksanaannya dan kecenderungannya yang tersendiri. Hali ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang dijadikan Allah berbeza-beza sifatnya.
Ada yang mahir bersyair, ada yang mahir memanah, ada yang mahir menggunakan pedang yang panjang, ada pula yang pendek sedikit, ada yang selesa berperang menunggangi kuda dan ada yang lebih selesa tidak. Setiap mujahid adalah berbeza-beza dan masing-masing menyerlah dalam bidang yang tersendiri.
Berlapang dada mereka adalah pada ketika berlakunya amal jamaie. Misalnya, ada suatu kawasan yang hendak ditakluk, dan sekumpulan mujahid telah ditugaskan kepadanya. Pastinya setiap seorang ada perbezaan dari segi sifatnya. Boleh jadi ada seseorang yang meyakini bahwa berperang dengan pedang adalah yang terbaik, manakala yang lain pula berpendapat memanah adalah caranya.
Di sinilah terletaknya kepentingan syura. Syura penting dalam mencapai kata persetujuan dan juga bagi menyusun setiap prajurit sesuai dengan kebolehannya. Moga dengannya, hasil yang terbaik boleh diperoleh.
Bagi satu-satu keputusan syura berjaya, ia menuntut setiap yang terlibat berlapang dada dan bersama-sama mendukung keputusan yang telah dipersetujui.
Inilah yang dikatakan sebagai berlapang dada tahapan tinggi. Ia bukanlah digunakan untuk perkara remeh-temeh, sebaliknya pada pendukungan cita-cita yang termulia kerna Allah semata-mata.
Begitulah jua dalam halaqah kita. Pastinya ada perbezaan pendapat antara kita dengan murabbi dan juga antara kita dengna ahli usrah yang lain. Namun begitu, biarlah perbezaan pendapat itu adalah hasil daripada masing-masing memaksimakan potensi dirinya pada jalan dakwah sekaligus menyebabkan gerak kerja semuanya ada perbezaan.
Apa yang perlu dilakukan adalah berlapang dada dengan setinggi-tinggi tahapannya.
Carilah titik-titik di mana gerak kerja boleh dilajukan bersama dan juga titik-titik di mana gerak kerja boleh dipisahkan agar tiada amal yang disia-siakan. Perkara ini hanya mampu tercapai dengan syura yang hasilnya dihormati dan didukung dengan penuh rasa izzah.
Bagaimana pula sekiranya kita belum pernah merasa perlunya berlapang dada tahapan tinggi?
Barangkali kita belum lagi "bekerja", ya akhi. Dua ekor singa yang tidur tidak akan pernah bergaduh walaupun diletakkan sebesar-besar gajah di antara mereka berdua untuk dimakan.
Moga Allah redha dengan kita semua.
...
SangHudHud.