Thursday, March 27, 2014

PEMBINA

Tujuan saya menulis ini adalah untuk menceritakan tentang sumbangan yang ingin dilakukan dalam masa hadapan,secara terperinci, dalam jangka masa 10 tahun. Sebelum saya menceritakan tentang sumbangan yang saya ingin lakukan,diminta izin untuk saya menceritakan tujuan sumbangan tersebut. Di sini, saya akan menceritakan sedikit realiti umat zaman sekarang, lebih terperinci,di Malaysia.
Hiasan
Berdasarkan pengalaman yang sedikit saya perolehi dalam bergaul dengan bermacam jenis manusia, saya dapati kebanyakkan manusia berfikiran seperti orang Barat(orang Barat yang saya rujuki di sini adalah mereka yang mengejar duniawi atau menekankan pembangunan luaran jiwa tetapi meninggalkan pembangunan dalaman jiwa). Antara sebab saya menceritakan perkara ini adalah kerana kesempitan pemikiran masyarakat sekarang. Memang benar tak semua orang berfikiran begitu, namun sudah menjadi majoriti masyarakat yang mempunyai mentaliti sebegitu.
Hiasan
               Saya tidak ingin menguar-uarkan kelemahan rakyat Malaysia atau manusia sejagat kerana saya sendiri mempunyai kelemahan tersendiri. Namun begitu, kerana sebab kelemahan itulah saya mengajak para pembaca sekalian untuk membuka minda dan melapangkan dada dalam berfikir sejenak dan menghayati apa yang ingin disampaikan. Ingin juga diingatkan disini bahawa penulisan saya ini tertuju terutama bagi mereka yang mempunyai agama, bagi yang tiada, dipersilakan juga untuk membaca, cuma mungkin tidak dapat menghayati sepenuhnya apa yang ingin disampaikan.
Hiasan
               Persoalan; berapa ramai daripada kita yang merasakan bahawa tanpa sijil pelajaran, diploma, ijazah dan yang seiring dengannya, kita tidak dapat memberi sesuap nasi kepada diri sendiri malah ahli keluarga yang sedia ada dan yang bakal dibina? Berapa ramai daripada kita yang merasakan bahawa pelajaran yang tinggi sahaja mampu memberi kita keselesaan dalam kehidupan? Wahai sahabat-sahabat sekalian, sedarlah bahawa segala persoalan tersebut adalah subjektif dan tiada skema jawapan. Namun, bagi mereka yang percaya akan kewujudan Tuhan meskipun tidak nampak Tuhan secara konkrit, percayalah bahawa kebergantungan kepada Tuhan yang Maha Esa akan membuatkan dunia yang sempit menjadi luas.
Sumber
               Jawapan kepada persoalan di atas mungkin membangkitkan kemarahan beberapa pembaca, harap maaf. Namun, realitinya, memang begitu cara hidup manusia yang mempunyai Tuhan yang satu. Walaupun begitu, tidak bermakna kita terus meninggalkan dunia dan mengejar akhirat sahaja, dan ini merupakan antara salah faham manusia dalam menghayati agama. Dalam kita beragama, pastikan kita tahu sumber agama itu dari mana, jikalau daripada manusia, ketahuilah, agama tersebut adalah sementara dan memberi pengharapan palsu. Jika sumbernya daripada Tuhan sendiri dan sejarah pun membuktikan kesahihan sumber tersebut, maka peganglah agama tersebut seerat-eratnya kerana agama itu adalah pengharapan sebenar daripada Maha Pencipta.
Hiasan
               Berbalik kepada persoalan tadi, kenapa masyarakat boleh jatuh ke lembah kehinaan sebegitu? Mempunyai agama tetapi masih melakukan kejahatan, kerosakan dan kemaksiatan. Bukankah agama itu sendiri membersihkan jiwa seseorang daripada melakukan segala perkara yang mungkar? Satu analogi: “Kalau kilang menghasilkan sesuatu alat yang rumit bertujuan untuk membantu manusia, pastinya kilang tersebut akan memberi buku panduan bagaimana mengoperasi alat tersebut.” Begitu juga manusia yang berbagai macam ragam lagi rumit ini. Sesungguhnya, bagi yang menciptakan kita pastinya akan memberi satu panduan untuk diikuti, dalam konteks ini, Al-Quran dan As-Sunnah (bagi agama lain, kitab masing-masing namun perlu dikaji kesahihan sumbernya).
               Walaupun berbekalkan panduan yang agung, namun kenapa manusia terutama yang mengikuti panduan agung tersebut, masih di lembah kehinaan? Di sini saya akan mengemukakan satu sebab utama, iaitu salah faham terhadap agama tersebut. Marah? Antara hujah yang mungkin dikeluarkan “Kenapa saya tak faham pula? Saya dah baca banyak buku agama, dah ada sijil dalam bidang agama! Siapa anda untuk melontarkan pendapat begitu?” atau “Saudara ini wahabi, saya dah dengar ceramah ustaz di masjid kelmarin hari. Wahabi, kalau bukan Wahabi, Syiah atau ekstrimis!” dan macam-macam lagi. Benar, boleh jadi komen anda benar, boleh jadi tidak, namun saya berserah kepada Allah swt untuk menjadi hakim kepada permasalahan tersebut. Saya hanya menulis untuk mengemukakan pendapat, bukan mengeluarkan fatwa yang mempunyai prosedur yang ketat untuk diikuti,harap dapat faham.
Hiasan
               Cuba kita lihat balik apa yang telah kita lalui sejak zaman tadika hingga kini. Berapa banyak tahun telah kita melabur dalam pelajaran? Saya yakin banyak, dan sepanjang tempoh tersebut, sumbangan apa yang telah kita lakukan kepada agama, negara, dan dunia? Mungkin ada mungkin tiada. Soalan kedua, setelah kita habis belajar, berapa lama tempoh kita bekerja? Kalau diambil kira umur manusia secara umum,iaitu 60 tahun, boleh jadi kita belajar selama 25-27 tahun dan mula bekerja secara stabil di umur 30 tahun. Jadi untuk permudahkan, kita telah habiskan 30 tahun untuk layakkan diri untuk bekerja, dan habiskan sisa 30 tahun lagi bekerja untuk langsaikan hutang. Inilah kitaran yang sedang dialami manusia sejagat.
Sumber
Sekali lagi, saya tidak mengatakan kitaran ini salah, namun ia menjadi salah kalau kita tidak manfaatkan segala pengorbanan yang telah kita laburkan sepanjang hayat kita. Jika kita mensia-siakannya, apa bezanya kehidupan kita dengan seekor lembu yang hidup dari kecil dan membesar semata-mata untuk diakhiri hayatnya untuk disembelih dijadikan juadah makan. Di situ, kita tidak sumbangkan apa-apa untuk manusia sejagat melainkan menghabiskan sumber yang terdapat di bumi ini. Tetapi, kalau diikutkan, lembu itu memang diciptakan untuk memudahkan manusia dalam proses memakmurkan bumi ini. Ini bermakna, lembu itu telah melaksanakan tujuan hidupnya dan manusia mensia-siakankan peluangnya untuk memakmurkan bumi ini kerana merasakan bahawa lembu itu hanyalah juadah untuk memuaskan nafsu perut semata-mata.
Sumber
Saya telah mengemukan permasalahan yang dialamai manusia sejagat, yakni tidak memahami tujuan hidupnya walaupun agama yang dianutinya telah menjelaskannya. Dengan itu, antara tujuan sumbangan yang bakal saya lakukan adalah untuk membantu diri sendiri dan manusia sejagat termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, dan sesiapa sahaja yang berbesar hati untuk melihat dunia ini aman di bawah naungan kuasa yang bersumberkan panduan yang agung serta mengamalkan apa yang terkandung dalan panduan tersebut. Mungkin tujuan sumbangan saya nampak tidak munasabah, berat sebelah, mempunyai bau-bau politik,tetapi saya hanya mampu membiarkan anda dengan spekulasi anda kerana saya telah melaburkan banyak masa dalam menulis sesuatu yang saya rasa tidak membuahkan amal untuk diri sendiri. Moga Allah redha.

Antara sumbangan utama yang ingin dilakukan adalah dengan membina individu muslim. Kenapa muslim? Kerana ia adalah agama(islam) yang saya anuti. Saya rasa bersyukur kerana dianugerahkan nikmat berada dalam naungan agama yang agung ini meskipun belum memahami dengan sepenuhnya agama ini, moga Allah kurniakan kefahaman dalam agama ini. Secara jujur, dahulu saya tidak tergerak untuk melakukan perkara ini yakni membina individu muslim. Kenapa? Kalau kita lihat masyarakat muslim itu sendiri pun kita akan rasa meluat, menyampah, dan rasa ingin muntah dengan gelagatnya yang tidak ubah seperti masyarakat Barat yang rosak akhlaknya(tidak semua akhlak masyarakat Barat rosak,tetapi secara umum, Barat sedang menghala ke arah itu).
Sumber
Kalau muslim yang membaca ini dan terdetik perasaan marah, saya tidak salahkan anda kerana saya pun pernah mengalaminya. Itu adalah tanda kita mengagung-agungkan ideologi Barat berbanding apa yang diajarkan agama kita sendiri, walhal, jika kita kaji semula, segala kemajuan Barat mempunyai banyak rujukan daripada tamadun islam suatu ketika dahulu. Jika kita melihat agama islam dan syariahnya (peraturan atau hukum) dengan akal logik kita, pastinya kita akan merasakan bahawa apa yang diciptakan Barat adalah lebih baik dan lebih berperikemanusiaan. Ini merupakan antara salah faham dalam memahami agama yang agung ini.
Apabila manusia mula menggunakan logik akalnya, maka agama yang dipelajarinya akan menjadi fakta semata-mata, ilmu yang kering dan tidak mengerakkan untuk dipraktikan, tidak berubah seperti menghafal formula matematik yang lambat laun kita akan lupakan kerana sudah melepasi peperiksaan institut pembelajaran. Inilah yang berlaku kepada manusia zaman sekarang di Malaysia(di luar negara mungkin berbeza kefahaman mereka, dimana mereka lebih menghargai agama agung ini dan mengamalkannya dengan penuh kesungguhan). Jadi, untuk membantu mengubah mentaliti sempit ini, maka memerlukan perubahan dalam diri sendiri. Kemudian mengubah mereka yang terdekat dengan kita. Apabila telah ramai yang berubah dan mengubah, maka akan wujud satu masyarakat yang luar biasa akhlaknya, berfikiran terbuka dan mempunyai gaya pemikiran yang sama antara satu sama lain yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Sumber
Namun, mungkin ada persoalan, apakah yang ingin diubah? Dan bagaimana ingin mengubah? Saya tidak akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang perkara tersebut, namun saya syorkan kepada para pembaca agar menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat, membersihkan diri daripada kegiatan yang menjatuhkan seseorang ke dalam lembah kehinaan, dan membina hubungan yang baik dengan Allah swt dan manusia sejagat. Sumbangan yang ingin saya lakukan ini pastinya akan bermula dengan mengubah segelintir manusia kemudian dari situ, berbekalan kefahaman yang saya yakin tidak bercampur-baur dengan ideologi sesat,ideologi sekular,dan segala jenis ideologi yang bertentangan serta tidak sesuai dengan syariah islam(sila rujuk para alim ulama bagaimana ideologi itu bertentangan serta tidak sesuai dengan syariah islam), maka saya akan berkongsi dengan mereka apa yang saya faham. Dari situ, bergantung kepada mereka untuk menerima atau tidak, kerana tiada paksaan berdasarkan kefahaman saya.

Saya hanya berharap kepada Allah agar memberi saya kekuatan untuk terus kekal dalam membina individu muslim ini sepertimana satu figur hebat dahulu telah berjaya lakukan yakni Rasulullah SAW. Metod yang saya ajukan semuanya terdapat dalam seerah dan dalam perjuangan perjuang-pejuang islam yang dipercayai tujuan perjuangan mereka. Saya berdoa agar tidak buat kerja yang kurang efektif di mana masa yang saya laburkan boleh dapat hasil yang lebih banyak jika dilaburkan dengan betul. Dengan izin Allah, moga sumbangan saya yang sedikit ini akan membantu umat islam dan akan menjadi saksi di akhirat nanti. Jadi, segala hidup saya mulai sekarang adalah semata-mata untuk membantu manusia ke arah mengembalikan satu sistem yang sesuai dengan manusia kerana bersumberkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana. Dengan izin Allah, semasa belajar saya akan membina manusia, semasa bekerja saya akan membina manusia, setelah berumah tangga juga saya akan membina manusia dan jika Allah izinkan, semasa saya tua pun saya akan cuba hadirkan diri dalam satu perkumpulan manusia yang mempunyai visi yang sama seperti saya.
Sumber
Wallahu'alam.
-pembinajiwa-

No comments:

Post a Comment