Tujuan saya menulis ini adalah untuk
menceritakan tentang sumbangan yang ingin dilakukan dalam masa hadapan,secara
terperinci, dalam jangka masa 10 tahun. Sebelum saya menceritakan tentang
sumbangan yang saya ingin lakukan,diminta izin untuk saya menceritakan tujuan
sumbangan tersebut. Di sini, saya akan menceritakan sedikit realiti umat zaman
sekarang, lebih terperinci,di Malaysia.
Berdasarkan pengalaman yang sedikit saya
perolehi dalam bergaul dengan bermacam jenis manusia, saya dapati kebanyakkan
manusia berfikiran seperti orang Barat(orang Barat yang saya rujuki di sini
adalah mereka yang mengejar duniawi atau menekankan pembangunan luaran jiwa
tetapi meninggalkan pembangunan dalaman jiwa). Antara sebab saya menceritakan
perkara ini adalah kerana kesempitan pemikiran masyarakat sekarang. Memang
benar tak semua orang berfikiran begitu, namun sudah menjadi majoriti
masyarakat yang mempunyai mentaliti sebegitu.
Saya tidak ingin menguar-uarkan
kelemahan rakyat Malaysia atau manusia sejagat kerana saya sendiri mempunyai
kelemahan tersendiri. Namun begitu, kerana sebab kelemahan itulah saya mengajak
para pembaca sekalian untuk membuka minda dan melapangkan dada dalam berfikir
sejenak dan menghayati apa yang ingin disampaikan. Ingin juga diingatkan disini
bahawa penulisan saya ini tertuju terutama bagi mereka yang mempunyai agama,
bagi yang tiada, dipersilakan juga untuk membaca, cuma mungkin tidak dapat
menghayati sepenuhnya apa yang ingin disampaikan.
Persoalan; berapa ramai daripada
kita yang merasakan bahawa tanpa sijil pelajaran, diploma, ijazah dan yang
seiring dengannya, kita tidak dapat memberi sesuap nasi kepada diri sendiri
malah ahli keluarga yang sedia ada dan yang bakal dibina? Berapa ramai daripada
kita yang merasakan bahawa pelajaran yang tinggi sahaja mampu memberi kita
keselesaan dalam kehidupan? Wahai sahabat-sahabat sekalian, sedarlah bahawa
segala persoalan tersebut adalah subjektif dan tiada skema jawapan. Namun, bagi
mereka yang percaya akan kewujudan Tuhan meskipun tidak nampak Tuhan secara
konkrit, percayalah bahawa kebergantungan kepada Tuhan yang Maha Esa akan
membuatkan dunia yang sempit menjadi luas.
Jawapan kepada persoalan di atas
mungkin membangkitkan kemarahan beberapa pembaca, harap maaf. Namun,
realitinya, memang begitu cara hidup manusia yang mempunyai Tuhan yang satu. Walaupun
begitu, tidak bermakna kita terus meninggalkan dunia dan mengejar akhirat
sahaja, dan ini merupakan antara salah faham manusia dalam menghayati agama.
Dalam kita beragama, pastikan kita tahu sumber agama itu dari mana, jikalau
daripada manusia, ketahuilah, agama tersebut adalah sementara dan memberi
pengharapan palsu. Jika sumbernya daripada Tuhan sendiri dan sejarah pun
membuktikan kesahihan sumber tersebut, maka peganglah agama tersebut
seerat-eratnya kerana agama itu adalah pengharapan sebenar daripada Maha
Pencipta.
Berbalik kepada persoalan tadi,
kenapa masyarakat boleh jatuh ke lembah kehinaan sebegitu? Mempunyai agama
tetapi masih melakukan kejahatan, kerosakan dan kemaksiatan. Bukankah agama itu
sendiri membersihkan jiwa seseorang daripada melakukan segala perkara yang
mungkar? Satu analogi: “Kalau kilang menghasilkan sesuatu alat yang rumit
bertujuan untuk membantu manusia, pastinya kilang tersebut akan memberi buku
panduan bagaimana mengoperasi alat tersebut.” Begitu juga manusia yang berbagai
macam ragam lagi rumit ini. Sesungguhnya, bagi yang menciptakan kita pastinya
akan memberi satu panduan untuk diikuti, dalam konteks ini, Al-Quran dan
As-Sunnah (bagi agama lain, kitab masing-masing namun perlu dikaji kesahihan
sumbernya).
Walaupun berbekalkan panduan yang
agung, namun kenapa manusia terutama yang mengikuti panduan agung tersebut,
masih di lembah kehinaan? Di sini saya akan mengemukakan satu sebab utama,
iaitu salah faham terhadap agama tersebut. Marah? Antara hujah yang mungkin
dikeluarkan “Kenapa saya tak faham pula? Saya dah baca banyak buku agama, dah
ada sijil dalam bidang agama! Siapa anda untuk melontarkan pendapat begitu?”
atau “Saudara ini wahabi, saya dah dengar ceramah ustaz di masjid kelmarin
hari. Wahabi, kalau bukan Wahabi, Syiah atau ekstrimis!” dan macam-macam lagi.
Benar, boleh jadi komen anda benar, boleh jadi tidak, namun saya berserah
kepada Allah swt untuk menjadi hakim kepada permasalahan tersebut. Saya hanya
menulis untuk mengemukakan pendapat, bukan mengeluarkan fatwa yang mempunyai
prosedur yang ketat untuk diikuti,harap dapat faham.
Cuba kita lihat balik apa yang
telah kita lalui sejak zaman tadika hingga kini. Berapa banyak tahun telah kita
melabur dalam pelajaran? Saya yakin banyak, dan sepanjang tempoh tersebut,
sumbangan apa yang telah kita lakukan kepada agama, negara, dan dunia? Mungkin
ada mungkin tiada. Soalan kedua, setelah kita habis belajar, berapa lama tempoh
kita bekerja? Kalau diambil kira umur manusia secara umum,iaitu 60 tahun, boleh
jadi kita belajar selama 25-27 tahun dan mula bekerja secara stabil di umur 30
tahun. Jadi untuk permudahkan, kita telah habiskan 30 tahun untuk layakkan diri
untuk bekerja, dan habiskan sisa 30 tahun lagi bekerja untuk langsaikan hutang.
Inilah kitaran yang sedang dialami manusia sejagat.
Sekali lagi, saya tidak mengatakan kitaran ini
salah, namun ia menjadi salah kalau kita tidak manfaatkan segala pengorbanan
yang telah kita laburkan sepanjang hayat kita. Jika kita mensia-siakannya, apa
bezanya kehidupan kita dengan seekor lembu yang hidup dari kecil dan membesar semata-mata
untuk diakhiri hayatnya untuk disembelih dijadikan juadah makan. Di situ, kita
tidak sumbangkan apa-apa untuk manusia sejagat melainkan menghabiskan sumber
yang terdapat di bumi ini. Tetapi, kalau diikutkan, lembu itu memang diciptakan
untuk memudahkan manusia dalam proses memakmurkan bumi ini. Ini bermakna, lembu
itu telah melaksanakan tujuan hidupnya dan manusia mensia-siakankan peluangnya
untuk memakmurkan bumi ini kerana merasakan bahawa lembu itu hanyalah juadah
untuk memuaskan nafsu perut semata-mata.
Saya telah mengemukan permasalahan yang
dialamai manusia sejagat, yakni tidak memahami tujuan hidupnya walaupun agama
yang dianutinya telah menjelaskannya. Dengan itu, antara tujuan sumbangan yang
bakal saya lakukan adalah untuk membantu diri sendiri dan manusia sejagat
termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, dan sesiapa sahaja yang berbesar hati
untuk melihat dunia ini aman di bawah naungan kuasa yang bersumberkan panduan
yang agung serta mengamalkan apa yang terkandung dalan panduan tersebut.
Mungkin tujuan sumbangan saya nampak tidak munasabah, berat sebelah, mempunyai
bau-bau politik,tetapi saya hanya mampu membiarkan anda dengan spekulasi anda
kerana saya telah melaburkan banyak masa dalam menulis sesuatu yang saya rasa
tidak membuahkan amal untuk diri sendiri. Moga Allah redha.
Antara sumbangan utama yang ingin dilakukan
adalah dengan membina individu muslim. Kenapa muslim? Kerana ia adalah
agama(islam) yang saya anuti. Saya rasa bersyukur kerana dianugerahkan nikmat
berada dalam naungan agama yang agung ini meskipun belum memahami dengan
sepenuhnya agama ini, moga Allah kurniakan kefahaman dalam agama ini. Secara
jujur, dahulu saya tidak tergerak untuk melakukan perkara ini yakni membina
individu muslim. Kenapa? Kalau kita lihat masyarakat muslim itu sendiri pun
kita akan rasa meluat, menyampah, dan rasa ingin muntah dengan gelagatnya yang
tidak ubah seperti masyarakat Barat yang rosak akhlaknya(tidak semua akhlak
masyarakat Barat rosak,tetapi secara umum, Barat sedang menghala ke arah itu).
Kalau muslim yang membaca ini dan terdetik
perasaan marah, saya tidak salahkan anda kerana saya pun pernah mengalaminya.
Itu adalah tanda kita mengagung-agungkan ideologi Barat berbanding apa yang
diajarkan agama kita sendiri, walhal, jika kita kaji semula, segala kemajuan
Barat mempunyai banyak rujukan daripada tamadun islam suatu ketika dahulu. Jika
kita melihat agama islam dan syariahnya (peraturan atau hukum) dengan akal
logik kita, pastinya kita akan merasakan bahawa apa yang diciptakan Barat
adalah lebih baik dan lebih berperikemanusiaan. Ini merupakan antara salah
faham dalam memahami agama yang agung ini.
Apabila manusia mula menggunakan logik akalnya,
maka agama yang dipelajarinya akan menjadi fakta semata-mata, ilmu yang kering
dan tidak mengerakkan untuk dipraktikan, tidak berubah seperti menghafal
formula matematik yang lambat laun kita akan lupakan kerana sudah melepasi
peperiksaan institut pembelajaran. Inilah yang berlaku kepada manusia zaman
sekarang di Malaysia(di luar negara mungkin berbeza kefahaman mereka, dimana
mereka lebih menghargai agama agung ini dan mengamalkannya dengan penuh
kesungguhan). Jadi, untuk membantu mengubah mentaliti sempit ini, maka
memerlukan perubahan dalam diri sendiri. Kemudian mengubah mereka yang terdekat
dengan kita. Apabila telah ramai yang berubah dan mengubah, maka akan wujud
satu masyarakat yang luar biasa akhlaknya, berfikiran terbuka dan mempunyai
gaya pemikiran yang sama antara satu sama lain yang berlandaskan Al-Quran dan
As-Sunnah.
Namun, mungkin ada persoalan, apakah yang ingin
diubah? Dan bagaimana ingin mengubah? Saya tidak akan membincangkan dengan
lebih lanjut tentang perkara tersebut, namun saya syorkan kepada para pembaca
agar menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat, membersihkan diri daripada
kegiatan yang menjatuhkan seseorang ke dalam lembah kehinaan, dan membina
hubungan yang baik dengan Allah swt dan manusia sejagat. Sumbangan yang ingin
saya lakukan ini pastinya akan bermula dengan mengubah segelintir manusia
kemudian dari situ, berbekalan kefahaman yang saya yakin tidak bercampur-baur
dengan ideologi sesat,ideologi sekular,dan segala jenis ideologi yang
bertentangan serta tidak sesuai dengan syariah islam(sila rujuk para alim ulama
bagaimana ideologi itu bertentangan serta tidak sesuai dengan syariah islam),
maka saya akan berkongsi dengan mereka apa yang saya faham. Dari situ,
bergantung kepada mereka untuk menerima atau tidak, kerana tiada paksaan
berdasarkan kefahaman saya.
Saya hanya berharap kepada Allah agar memberi
saya kekuatan untuk terus kekal dalam membina individu muslim ini sepertimana
satu figur hebat dahulu telah berjaya lakukan yakni Rasulullah SAW. Metod yang
saya ajukan semuanya terdapat dalam seerah dan dalam perjuangan
perjuang-pejuang islam yang dipercayai tujuan perjuangan mereka. Saya berdoa
agar tidak buat kerja yang kurang efektif di mana masa yang saya laburkan boleh
dapat hasil yang lebih banyak jika dilaburkan dengan betul. Dengan izin Allah,
moga sumbangan saya yang sedikit ini akan membantu umat islam dan akan menjadi
saksi di akhirat nanti. Jadi, segala hidup saya mulai sekarang adalah
semata-mata untuk membantu manusia ke arah mengembalikan satu sistem yang
sesuai dengan manusia kerana bersumberkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana.
Dengan izin Allah, semasa belajar saya akan membina manusia, semasa bekerja
saya akan membina manusia, setelah berumah tangga juga saya akan membina
manusia dan jika Allah izinkan, semasa saya tua pun saya akan cuba hadirkan
diri dalam satu perkumpulan manusia yang mempunyai visi yang sama seperti saya.
Wallahu'alam.
-pembinajiwa-